Saturday, 23 March 2013

Bahaya-Nya Jika Wanita Tidak Tutup Aurat




Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman



Semasa saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-


"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"


Ada di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.


" Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.


Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"


"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.


"Baiklah, jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.


" Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.


"Jika demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.


" Erm, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.


"Ye la, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"


"Cuba bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.


"Tapi perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"


"Akhirnya, kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.


Lebih terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? . Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin sesoerang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda SAW?.


BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?


Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.


Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-


"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)


Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.


Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)


Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.


BANTAHAN KAUM WANITA


"Eleh, tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.


"Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.


"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.


"Biasanya bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal"


"Demikianlah juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah " terang saya.


"Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas mereka dengan penuh minat kali ini.


"Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya


"Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur"


PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID

Saya masih ingat, dalam perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising dengan bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan kata-kata :


"Astaghfirullah..korang ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit"


Anda tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.


Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?


"Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.


Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :


زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..


"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."


Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :


ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء


Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )


ANTARA LAWAK & HUKUM


Saya juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.


Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.


Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-


ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب


Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)


DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER


Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.


"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.


"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.


Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :


"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)


Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.


"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"


Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"


Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?


Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :


"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)


Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.


Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.


Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :


إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار


Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )


Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.


Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW


من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً


Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )


Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.


Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?


Sekian

pesanan buat para wanita





Nikah gantung jom?Saya nak kahwin dengan awak"

Wanita solehah,tidak akan sesekali berani menawarkan dirinya untuk di kahwini dengan berkata sedemikian rupa kepada lelaki malah dia juga tidak akan sesekali mengajak seorang lelaki berkahwin dengan cara sedemikian kerana dia sentiasa yakin bahawa jodohnya telah ditetap sejak azali lagi.Selain itu seorang wanita solehah juga,lazimnya memiliki sifat malu kerana dia sedar bahawa malu itu sebahagian daripada iman.


Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
 
"Sifat malu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan".
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Namun, ramai diantara wanita-wanita zaman sekarang yang telah lenyap sifat malu didalam diri mereka. Oleh sebab itu mereka tidak berasa malu untuk berpakaian dengan pakaian yang menjolok mata dikhalayak ramai,merokok di tempat-tempat awam seperti di taman permainan dan kafe-kafe,bergurau senda dengan lelaki yang bukan mahram tanpa batasan dan banyak lagi.Oleh kerana tiada sifat malu ini lah perkara-perkara buruk dan negatif seperti ini berleluasa,maka telah menjadi tugas dan kewajipan seorang wanita muslim itu untuk membataskan diri mereka dengan menanamkan sifat malu yang tebal dalam diri mereka.

Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Iman itu lebih daripada tujuh puluh atau enam puluh cabang,maka yang paling afdalnya ucapan 'Laailahaillallah' dan yang paling rendahnya membuang perkara yang menyakiti dari jalan dan malu sebahagian daripada iman".

Wahai wanita yang solehah,renungilah kata-kata pujangga ini:
 "Orang yang dituntun oleh agamanya,yang diluruskan oleh akalnya,yang dijaga oleh hartanya dan yang dihiasi oleh rasa malunya maka dia telah menghimpunkan semua nilai keutamaan dalam dirinya".

"I love you...I love you so much...
ILYSM...MY (I love you so much....miss you)

 
Macam-macam ungkapan yang diungkapkan untuk menerbitkan isi hati atau menyatakan cinta dan kasih kepada seseorang.

Patutkah seorang wanita yang berpendidikan agama,menutup aurat sepenuhnya dari hujung rambut hingga hujung kaki berkata begitu pada seorang lelaki yang bukan sesiapa pun pada dirinya,jauh sekali suaminya.Dimana letaknya maruah diri sebagai seorang wanita muslimah?

Jika dia benar-benar seorang wanita muslimah,dia tidak akan sesekali berani berkata begitu,kerana dia sentiasa takut akan kemurkaan Allah Swt.  Dia juga akan sentiasa berfikir akan kesan-kesan yang mungkin timbul apabila dia menuturkan kata-kata sedemikian rupa terhadap seorang lelaki yang belum sah menjadi suami.  Selain itu wanita solehah juga akan sedar bahawa bukan semudah itu caranya untuk menyatakan cinta kerana wanita solehah sentiasa mengharapkan syurga Allah untuk dirinya.

"Nikah gantung save dan safe...save duit,duduk asing tak apa,i tak kisah.safe hati,boleh jauhkan diri dari maksiat".

Bayangkan sekiranya seorang wanita yang berpendidikan agama,menutup aurat dari hujung rambut ke hujung kaki  mempelawa seorang lelaki berkahwin dengannya dan menyatakan ayat seperti diatas.   Alangkah malunya apabila seorang wanita itu berkata seperti ini demi untuk mengajak seorang lelaki yang amat dicintainya mengahwininya sedangkan seorang wanita solehah perlu menyulamkan dirinya dengan perasaan malu dan berederhana ketika bertutur.  Seorang wanita dibenarkan mengajak seorang lelaki bernikah namun perlulah dilakukan dengan cara yang betul dan tidak memalukan diri sendiri.

Renungilah Firman ALLAH dalam surah An-Nuur ayat:21 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui".


ALLAH berfirman lagi dalam surah An-Nuur ayat:26 yang bermaksud:

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia".

Bagi para lelaki diluar sana,sudah tentu anda menginginkan seorang isteri yang solehah dan baik budi pekertinya.  Lantaran itu,sebagai seorang lelaki anda juga harus berusaha untuk menjadi hamba Allah yang soleh sebelum anda bercita-cita untuk menemui wanita solehah yang anda impikan.  

Antara ciri-ciri solehah seorang wanita yang diimpikan para lelaki ialah wanita itu mesti menjaga solat, taat kepada ibu bapa, berakhlak mulia, menutup aurat ,pandai mengaji al-qur'an, rajin melaksanakan puasa sunat dan lain-lain.

Sememangnya,mencari wanita yang solehah adalah sukar kerana sudah tidak ramai lagi wanita yang memiliki sifat-sifat mulia sebegitu dek kerana hanyut dengan 'trend' zaman sekarang. Tidak kurang juga bagi seorang wanita solehah, semakin sukar untuk menemui lelaki yang soleh  kerana realitinya kini tidak ramai lelaki yang mempunyai sifat-sifat soleh seperti sahabat-sahabat Nabi suatu ketika dahulu.  

Malah,yang menjadikan pencarian soleh dan solehah ini lebih sukar apabila seseorang itu perlubijak 'menilai' batiniah seseorang kerana sifat solehah dan soleh itu tentulah berada di dalam hati individu itu sendiri dan tidak boleh dinilai dari sifat luaran seseorang semata-mata.

Jika kita hanya menilai seseorang melalui caranya menutup aurat,belum tentu orang yang kita nilai itu baik dari segi akhlaknya. Ada pepatah melayu menyatakan,'Kulit baik,belum tentu isinya baik' manakala pepatah inggeris pula menyatakan 'Dont judge book by it's cover'


Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Kepadaku diberikan tiga idaman oleh ALLAH di dunia:isteri solehah,berwangi-wangian dan sejuk mata (jiwa) ku di dalam sembahyang".
(Hadis Riwayat Ahmad dan An Nasai)

Oleh kerana itu wahai para wanita diluar sana, binalah benteng keimanan dalam diri kalian, jadikanlah sifat malu itu sebagai perisai diri kalian, hiasilah diri dengan akhlak yang menawan dan keperibadian yang anggun..moga-moga diri anda akan tergolong dalam kalangan wanita solehah yang sejati yang menjadi idaman setiap lelaki yang soleh...insyaAllah.

ALLAH berfirman dalam surah Al-Ahzaab ayat:35 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

RENUNG-RENUNGKANLAH WAHAI WANITA.

Friday, 22 March 2013

Hamba yang Bagaimana Aku Ini ?


Azan sedang berkumandang.
"Ah...jap lagilah solat. Nak abeskan baca facebook dulu".
Bebola mataku yang sebelum ini berwarna tahi cicak, hitam putih beransur-ansur bertukar menjadi bebola api. Merahnya begitu menyengat.
"Aduhhhhh...Sakitnya mata. Lenguhnya tengkuk. Lah...patutlah dah kul 4 petang. Tak sedar plak dah lama main facebook".
Dan aku pun menunaikan solat Zohor tanpa nafsu sebagai hamba. Sekadar tonggang tonggek dan memberi salam kiri kanan. Bagai kilat menyambar begitulah kepantasan aku solat dengan doa yang paling pendek. Kadang-kadang tak doa pun.
Aku minta apa dalam doa pun aku tak tahu. Cuma mulut aku terkumat kamit membaca karangan Bahasa Arab. Jasadku di atas sejadah. Roh, jiwa dan fikiranku terbang menggapai langit-langit yang indah. "Oh! Ada awek cun add aku tadi. Jap lagi nak usha facebook dialah".
Semangatnya aku.
Aku ulangi tabiat yang sangat baik ini setiap hari. Berjam-jam lamanya aku di dunia internet. Macam-macam yang aku layari. Orang kata nak jelajah dunia kena belayar di laut. Aku jelajah dunia dengan belayar di internet.
Aku puas.
HAMBA APAKAH AKU?
Dunia internet. Facebook. Twitter. Blog. Agaknya ada lagi yang lebih penting daripada Allah?
Kita ini hamba. Hamba kepada Tuan yang sangat besar kuasa-Nya. Sangat tinggi kasih sayang-Nya. Dengan hanya sedikit limpahan rahmat-Nya dimasukkan ke dalam dada semua hamba-Nya. Kita mampu pula berkasih sayang sesama kita.
Mampu menghubungi antara satu sama lain dengan nikmat internet yang diberi Allah.
Dia yang mencipta kita. Untuk apa?

Semata-mata hanya untuk beribadat kepada Allah. Alah mencipta dunia dan segenap perhiasannya untuk dijadikan medan tarbiyyah buat kita. Ibarat mencipta akhirat untuk tempat penghisaban amalan dan mencipta pula neraka dan syurga sebagai tempat balasan kita. Ia tempat yang kekal abadi. Yang tidak ada kematian lagi. Ia tempat terakhir perjalanan roh.
Berfacebook, berchatting dan bermain game adakah suatu ibadat untuk kita persembahkan kepada Allah?Adakah dengan komponen-komponen di dalam aktiviti ini mampu menjadi batu asas binaan mahligai di syurga kelak?
Oh! Di mana nilai kita sebagai seorang hamba di mata Allah? Tidakkah kita risau?
Seorang hamba itu hidupnya tidak dihiasi dengan bermaksiat. Hatta "bermaksiat" dengan waktu. Hatinya seringkali diservis untuk perjalanan yang jauh menuju ke padang mahsyar. Dia telah bersiap siaga dengan bekalan amalan di dunia.
Tidak ada perintah yang lebih dijunjung oleh seorang hamba Allah itu melainkan perintah Allah.
Dia merdeka daripada keterikatan kepada makhluk, hawa nafsu dan kebendaan. Kebergantungannya hanya kepada Allah yang semakin hari semakin kuat, sehingga ia mampu hidup berdikari dan tidak mengharap ihsan orang lain.
Cukuplah Allah sebagai penghibur hatinya. Bukan internet. Bukan game. Bukan Facebook. Bukan movie Korea. Bukan chatting.
Itulah nilai seorang hamba Allah. Makin hari makin sayang dengan Allah. Makin hari makin tenang dalam dakapan kasih sayang Allah.
Seperti dalam firman Allah SWT dalam surah as-syams, manusia itu dikurniakan dua pilihan jalan, jalan KETAQWAAN  dan jalan kefasikan. Beruntunglah yang memilih jalan ketaqwaan dan merugilah yang memilih jalan kefasikan.

Aurat Wanita (Beza Antara Jilbab, Khitmar Dan Hijab))


Apa itu aurat?
Dalam Syarah Sunan Ibnu Majah juz 1/276, disebutkan, bahwa aurat adalah kullu maa yastahyii minhu wa yasuu'u shahibahu in yura minhu (setiap yang menyebabkan malu, dan membawa aib bagi pemiliknya jika terlihat)". 
Berkaitan aurat wanita, ada 3 istilah penting di dalam al-Quran yang mempunyai maksud berbeza iaitu:Jilbab (Al-Ahzab: 59), Hijab (Surah al-Nur) dan Khimar (Surah al-Nur: 31)
Ikuti penerangan di bawah. Dipetik daripada novel  Sebarkan Cinta-Mu
"Ummu Qasdi: Wanita Arab kebanyakannya memiliki jilbab (jubah) yang sangat tebal, keras dan tidak membentuk badan          sedikitpun. Oleh sebab itulah khimar atau tudung kepalanya singkat. Ia sudah memenuhi kehendak menutup aurat.
Sementara di Malaysia, jilbab (baju kurung dan jubah) kita adalah nipis dan agak menampakkan potongan badan. Oleh sebab itu kita dianjurkan memakai khimar atau tudung kepala yang labuh."
Qasdi          : Hmm, balik kepada diskusi kita. Silakan mengkritik saya seperti mereka.
Ummu Qasdi : Saya cuma ingin berdiskusi bukan kritik-mengkritik.
Qasdi          : Baik. Apa jawapan awak untuk soalan saya? Kenapa Islam memenjarakan wanita dengan memerintahkannya bertudung? Ia ajaran Islam atau hanya tradisi?
Ummu Qasdi : Bagus sekali soalan ini. Ia sudah tentu memberat juga di minda anak-anak gadis yang lain.

Ummu Qasdi   : Bagi Orientalist, hijab itu cumalah tradisi Arab tidak kira untuk apa jua agama termasuk Yahudi dan                                    Kristian. Mereka yang berhijab dianggap anti-sosial. Itu kefahaman Barat bukan kefahaman Islam.
Qasdi           : Ada juga bijak pandai Muslim yang percaya begitu. Saya sendiri telah membaca tulisan mereka.
Ummu Qasdi  : Mereka sedang keliru dengan hujah Barat. Doakan Allah pandu mereka kembali.
Qasdi           : Saya yakin mereka berkata begitu dengan bukti dan kajian kerana saya mengenali sendiri orang Barat                               sebagai bangsa yang suka mengkaji. Saya kini berada di negara Barat.
Ummu Qasdi  :Ya, budaya mengkaji sebenarnya hikmah orang-orang Islam yang hilang. Di manapun kita menemuinya,                               kita mesti mengutipnya kembali.
Qasdi          : Betulkah ada Muslim sebaik orang Barat?
Ummu Qasdi : Awak mungkin belum menemuinya.Orang Islam yang mengkaji dan berakhlak akan mempunyai nilai yang                              jauh lebih indah dan suci. Saya akan berdoa moga awak akan menemuinya.
Qasdi         : Kalau awak tahu situasi saya di sini, hijab ini menyebabkan saya menjadi rendah diri terhadap lelaki. Bukankah ini satu diskriminasi wanita? Saya rasa tidak merdeka. Apapun, saya tahu, saya sedang keliru. Maka, saya                          masih tidak meninggalkan hijab saya.
Ummu Qasdi : Kekeliruan itu lumrah bagi insan yang mengkaji. Ia akan terlerai menjadi hujah yang teguh apabila                                      kajian diteruskan dengan adil dan banyak berdoa.
Qasdi          : Sila jelaskan hujah awak.
Ummu Qasdi  : Firman Allah SWT dalam sumber agung kita, al-Quran al-karim yang bermaksud,
                  "Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin,'Hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.'" Surah al-Ahzab, ayat 59.
QasdI        : Bagaimana pula dengan segelintir cerdik pandai Muslim yang menafsirkan ayat ma zoharo minha (apa                                 yang biasa nampak), dalam Surah al-Nur, ayat 31, termasuk boleh mendedahkan rambut kerana rambut itu biasa nampak.
Ummu Qasdi : Firman Allah selengkapnya bermaksud, ....dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka selain                              yang biasa nampak (ma zoharo minha). Majoriti ulama menafsirkan apa yang biasa nampak ialah muka dan tapak tangan. Itu juga tafsiran Ibnu Abbas yang memang digredkan sendiri oleh Rasulullah SAW sebagai pakar tafsir.
Qasdi        : Kalau benar hijab itu ajaran Islam, bagaimana Islam melayan wanita secara sama dengan kaum lelaki dalam hal ini?
Ummu Qasdi: Islam telah meletakkan banyak persamaan antara wanita dan lelaki dalam nilai kemanusiaan, hak untuk Beribadat, bermuamalat, mendapat pendidikan dan sebagainya. Cumanya Islam tidak meletakkan persamaan secara mutlak.
Qasdi         :Kenapa?        
Ummu Qasdi :Kerana Islam memiliki konsep yang lebih luas iaitu keadilan. Apa yang awak faham tentang keadilan?
Qasdi          : Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Ummu Qasdi: Bijak!  
Qasdi         : Terus...                     
Ummu Qasdi: Bagaimana Islam boleh memberikan persamaan mutlak kepada lelaki dan wanita sedangkan biologI merekapun ternyata berbeza. Ini menyebabkan peranan mereka terhadap keseimbangan kehidupan ini juga agak berbeza. Contoh yang jelas, wanita mampu melahirkan tetapi lelaki tidak mampu. Maka tugas melahirkan itu diletakkan kepada wanita.
Qasdi        : Itu terlalu jelas, tidak siapapun mempertikaikannya. Bagaimana pula dengan soal mendidik anak contohnya. Kenapa wanita perlu lebih memberi perhatian di rumah berbanding lelaki?
Ummu Qasdi: Bukankah kelembutan dan kasih sayang seorang wanita itu menyebabkan jiwa anak lebih mudah dilentur? Malah, secara fitrah, anak lebih menyayangi ibu berbanding ayah kerana ibu lebih banyak mendampingi dan menguruskannya. Malah, Islam menganugerahi darjat ibu 3 kali ganda lebih utama daripada darjat ayah. Nah, tanggung jawab berat seorang ibu berbalas cinta mendalam seorang anak. Apa lagi yang perlu dicemburukan pada kaum ayah jika mereka kurang memperhatikan anak?
Qasdi        : Berbalik pada soal hijab...
Ummu Qasdi: Hijab atau jilbab?
Qasdi          : Bukankah ia sama?
Ummu Qasdi : Sama tapi tidak serupa. Hijab lebih luas maksudnya. Ia mencakupi segala sesuatu yang menjadi pemisah antara lelaki dan wanita termasuklah jilbab dan khimar. Jilbab lebih spesifik.
Qasdi         :Jilbab dan khimar?
Ummu Qasdi: Jilbab itu dalam Bahasa Arab bermaksud baju labuh dan longgar dan menjulur hingga ke bawah seperti jubah dan baju kurung atau baju mana-mana budaya lain yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam. Islam sebagai agama sedunia (a'lami) mempunyai toleransi kepada adat dan budaya selagi ia tidak bercanggah syariat.
Qasdi         :Khimar pula?Ummu Qasdi   : Khimar adalah tudung kepala. Ia juga wajib sebagaimana disebut dalam Surah al-Nur.Qasdi    : Kenapa ramai wanita Arab yang belajar di sini memakai jubah yang tebal tetapi tudungnya singkat? Adakah sempurna auratnya ditutup?
Ummu Qasdi : Wanita Arab kebanyakannya memiliki jilbab (jubah) yang sangat tebal, keras dan tidak membentuk badan sedikitpun. Oleh sebab itulah khimar atau tudung kepalanya singkat. Ia sudah memenuhi kehendak menutup aurat. Sementara di Malaysia, jilbab (baju kurung dan jubah) kita adalah nipis dan agak menampakkan potongan badan. Oleh sebab itu kita dianjurkan memakai khimar atau tudung kepala yang labuh.
Qasdi         : Kalau begitu, bicarakan  pula hijab dengan definisi yang luas.
Ummu Qasdi: Baiklah. Nuansa kecantikan pada wanita berbeza dengan lelaki. Lelaki secara fitrahnya ingin menikmati keindahan ini. Maka, Islam datang melindungi wanita dengan mengatur cara yang mulia dan bermaruah untuk lelaki meneguk keperluan biologi ini. Bukan sewenang-wenang. Wanita juga tidak lengkap tanpa lelaki. Islam meletakkan batasan. Hijab salah satu ubat supaya dapat menjaga batasan.